Donald Trump. FOTO AFP.
Donald Trump. FOTO AFP.
Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka boleh kembali bertugas sepenuhnya, Sabtu ini.

Pegawai perubatan Rumah Putih, Dr Sean Conley dalam memo berkata, Trump sudah melengkapkan semua prosedur terapi dan rawatan Covid-19 seperti ditetapkan.

"Sabtu adalah hari ke-10 sejak beliau didiagnos dan berdasarkan diagnostik lanjutan yang dilakukan, saya menjangkakan Presiden cukup sihat untuk kembali bertugas hari itu," katanya seperti dilapor Anadolu Agency.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kesihatan Trump kekal stabil dan tidak menunjukkan sebarang gejala.

Trump, 74, pada Jumaat minggu lalu mengesahkan beliau dan isterinya, Melania Trump positif Covid-19.

Beliau kembali ke Rumah Putih pada Isnin selepas tiga hari dirawat di Walter Reed Medical Center di Bethesda, Maryland.

Sementara itu, Setiausaha Perkhidmatan Kemanusiaan dan Kesihatan AS, Alex Azar berkata, negara itu bakal mempunyai cukup dos vaksin Covid-19 bagi setiap rakyatnya, seawal Mac 2021.

Menurutnya, program vaksin yang giat dilaksana ketika ini menjangkakan 100 juta dos tersedia menjelang akhir tahun ini.

"Kita jangka akan mempunyai dos yang mencukupi untuk setiap rakyat yang memerlukan vaksin antara Mac ke April 2021," katanya seperti dilapor agensi berita Xinhua.

Azar memberitahu AS kini membangunkan dos daripada enam vaksin berpotensi di 23 kemudahan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 10:38 AM