DUIT syiling terbesar yang ditemui di Kepulauan Channel. FOTO SWNS.com
DUIT syiling terbesar yang ditemui di Kepulauan Channel. FOTO SWNS.com
Agensi

LONDON: Dua pemburu harta karun mendapat ‘durian runtuh’ selepas menjumpai 69,347 duit syiling lama di Jersey, Kepulauan Channel, di Selat Inggeris, dekat sini.

Daily Mail melaporkan, harta karun ditemui pada kedalaman 0.9 meter di pulau berkenaan adalah penemuan syiling lama dengan jumlah terbesar pernah direkodkan di United Kingdom. Ia sekali gus memadam rekod penemuan 54,951 duit syiling lama yang ditemui di Wiltshire berhampiran Mildenhall di England, pada 1978.

Mead dan Miles menjumpai duit syiling itu selepas pencarian 30 tahun berdasarkan petunjuk daripada seorang wanita.

Harta karun itu dikatakan bernilai 10 juta Pound Sterling (RM54.4 juta).

Pencarian itu usaha mereka berdua untuk mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records.

Kurator Arkeologi Warisan Jersey Olga Finch menganggap penemuan khazanah itu sebagai satu kejayaan.

MEAD (kiri) dan Richard selepas menemui duit syiling. FOTO SWNS.com
MEAD (kiri) dan Richard selepas menemui duit syiling. FOTO SWNS.com

“Kami tidak terkejut dengan pencapaian ini dan gembira bahan arkeologi ditemui dan dipamerkan di Jersey.

“Penemuan khazanah itu menjadikan pulau ini tumpuan penyelidikan antarabangsa dan Jersey sebagai tapak warisan bertaraf dunia,” katanya.

Duit syiling diisytiharkan sebagai harta di bawah Akta Harta Karun 1996, yang bermaksud ia secara rasminya menjadi milik pemerintah walaupun individu yang menemuinya berhak menerima ganjaran.

Menurut Mead, nilai terendah bagi setiap duit syiling ditemui adalah 100 Pound Sterling (RM541).

Bagaimanapun, ada yang mempertikaikan jumlah itu kerana beranggapan nilainya mungkin lebih rendah berikutan jumlah penemuan itu yang amat besar.

Menurut rekod, penemuan duit syiling terbesar di dunia direkodkan di Brussels, Belgium pada 1908. Ia mencatatkan 150,000 wang perak dari abad ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:45 AM