Syiling yang ditemui berhampiran tapak kubu Viking. FOTO Muzium Jutland Utara.
Syiling yang ditemui berhampiran tapak kubu Viking. FOTO Muzium Jutland Utara.
AFP

Copenhagen: Kira-kira 300 syiling perak dipercayai berusia lebih 1,000 tahun ditemui berhampiran tapak kubu Viking di barat laut Denmark.

Khazanah itu ditemui di dua tempat tidak jauh satu sama lain oleh wanita muda yang menggunakan alat pengesan logam di ladang jagung pada musim luruh lalu.

Syiling perak itu ditemui kira-kira lapan kilometer dari kubu Fyrkat Viking berhampiran bandar Hobro.

Pengarah Muzium Jutland Utara, Lars Christian Norbach berkata, penemuan khazanah seperti itu sangat jarang berlaku.

Katanya, syiling berasal dari tempoh sama dengan kubu yang dibina oleh Raja Harald Bluetooth dan bakal menampilkan lebih banyak maklumat sejarah Viking.

"Mungkin ada kaitan antara harta karun yang dikebumikan oleh Viking semasa peperangan dan kubu terbakar dalam tempoh sama," katanya.

Daripada inskripsi mereka, khazanah itu dipercayai berusia tahun 980-an.

Menurut ahli arkeologi, khazanah itu termasuk syiling Denmark, Arab dan Jerman serta barang kemas yang berasal dari Scotland atau Ireland.

Katanya, mereka akan terus melakukan penggalian pada musim luruh akan datang selepas musim menuai.

Artifak itu akan dipamerkan kepada umum di Muzium Sejarah Aalborg, mulai Julai ini, manakala wanita yang menemui khazanah itu bakal menerima ganjaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 2:14 PM