Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Aktiviti penyelidikan arkeologi di perairan negara giat dijalankan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak termasuk pakar tempatan, universiti dan agensi awam.

Ketua Pengarah merangkap Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) memperuntukkan Cawangan Arkeologi Bawah Air JWN bertanggungjawab dalam kerja-kerja penyelidikan melalui survei dan salvaj warisan kebudayaan bawah air selain memelihara serta memulihara khazanah berkenaan.

Katanya, matlamat utama menjalankan penyelidikan arkeologi bawah air bukan semata-mata bertujuan mendapatkan artifak atau harta karam sahaja berikutan ia tidak mencukupi untuk menerangkan keadaan sebenar tapak atau kapal itu.

"Penemuan artifak sahaja tidak dapat memberi sumbangan ke arah memahami sejarah dan kebudayaan yang berkaitan dengannya.

"Justeru, kajian lanjut perlu dibuat ke atas tapak kapal karam itu secara menyeluruh dan terkawal sebelum setiap aspek dan fakta sampingan yang ada padanya direkodkan bagi memudahkan interpretasi dibuat ke atas warisan kebudayaan bawah air," katanya.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 153 tapak kapal karam direkodkan dengan 66 daripadanya sudah menjalani survei dan kajian.

"Penyelidikan tapak kapal karam dikategorikan mengikut era pensejarahan maritim Malaysia.

"Ia merangkumi kapal karam bermula dari abad ketiga Masihi sehingga kurun ke-19 dan kapal karam era Perang Dunia Kedua dalam bentuk tapak kapal perang, kapal selam dan kapal terbang milik pihak bersekutu dan Jepun selain kapal yang karam di bawah 100 tahun," katanya.

Katanya, JWN dengan kerjasama pihak berkaitan yang menjalankan siri penyelidikan arkeologi bawah air turut menemui beberapa lagi penemuan terkini.

"Ia termasuk penemuan kapal jenis enjin wap di Penjom, Kuala Lipis; kapal besi jenis enjin wap Paloh Hinai, Pekan serta artifak dan serpihan kayu di Kuala Pahang, Pekan.

"Di Melaka, kapal karam Kesultanan Melaka ditemui di Pulau Melaka serta artifak dan serpihan kayu di Syah Bandar, manakala satu lagi kapal karam ditemui di Pulau Bidong, Terengganu.

"Antara artifak objek bersejarah yang ditemukan ialah pecahan kayu dan peralatan badan kapal, wang Kesultanan Melaka zaman pemerintahan Sultan Mahmud (1488 hingga 1511), pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Ming, mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis.

"Turut ditemui ialah seramik Sawankhalok dari kurun ke-16 hingga 17, seramik celadon dari Dinasti Song, porselin dari qDinasti Ming, duit syiling China dari Dinasti Tang, Song dan Ming serta syiling Kesultanan Pahang," katanya.

Menurutnya, JWN juga mewartakan lima kawasan sebagai Zon yang dilindungi di bawah Seksyen 64 Akta Warisan Kebangsaan 2015 [Akta 645] kerana dikenal pasti mempunyai warisan kebudayaan di bawah air yang amat sensitif dan perlu dipelihara sepenuhnya.

PENYELAM mencari peninggalan artifak di tapak arkeologi maritim di Pulau Melaka. FOTO Ihsan ATMA
PENYELAM mencari peninggalan artifak di tapak arkeologi maritim di Pulau Melaka. FOTO Ihsan ATMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 12:00 PM