Majlis Menandatangani Kolaborasi Strategik Antara PERZIM Dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang disempurnakan Pengurus Besar PERZIM Drs Mohd Nasruddin Rahman (kiri) dan Pengarah Program Seni Bina, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Alice Sabrina Ismail. FOTO NURALIAWATI SABRI
Majlis Menandatangani Kolaborasi Strategik Antara PERZIM Dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang disempurnakan Pengurus Besar PERZIM Drs Mohd Nasruddin Rahman (kiri) dan Pengarah Program Seni Bina, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Alice Sabrina Ismail. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: Pencarian harta karun yang didakwa milik Sultan Mahmud Shah di Pulau Nangka di sini, dijangka selesai pada penghujung Oktober ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, kerja pencarian itu kini sedang dijalankan oleh pihak tertentu dan didakwa ada penemuan di kawasan terbabit.

Menurutnya, sepanjang tempoh pencarian itu beberapa kaedah kajian diguna pakai tidak hanya tertumpu secara saintifik sahaja.

"Sekarang, kita bagi tempoh kepada syarikat yang terbabit sehingga 30 Oktober ini. Insya-Allah sekiranya ada rezeki akan menjadi kenyataan.

"Saya minta tidak diletakkan harapan sepenuhnya kerana kita sendiri tidak tahu sama ada betul atau sebaliknya.

"Mengikut analisa yang dilakukan memang ada barang (harta karun) di Pulau Nangka dan difahamkan ia dalam bentuk jongkong selain didakwa 'black gold'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kolaborasi strategik antara Perzim dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang disempurnakan Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman dan Pengarah Program Seni Bina, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM Prof Madya Dr Alice Sabrina Ismail hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap tiada sebarang spekulasi dibuat sehinggalah harta karun itu dibawa keluar dan dapat dilihat dengan jelas.

"Sebelum ini dikatakan ada penemuan syiling emas di Pulau Nangka tetapi berdasarkan analisa dijalankan ia tidak benar.

"Difahamkan, barang-barang di situ dalam bentuk jongkong bukannya syiling dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kolaborasi yang dijalinkan antara Perzim bersama UTM, Akramuddin berkata, melalui kerjasama strategik itu ia akan membantu usaha memulihara bangunan tinggalan sejarah di Melaka.

"Kita akan minta UTM khususnya Fakulti Alam Bina dan Ukur menyediakan dua pasukan untuk melakukan lukisan terukur ke atas bangunan sejarah tinggalan Belanda di sekitar Banda Hilir.

"Ini kerana ada antara bangunan itu tiada lukisan dan sekiranya berlaku sesuatu kita tiada rujukan untuk membina semula atau untuk dipamerkan kepada generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 4:50 PM