Warga China memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan penularan Koronavirus. AFP
Warga China memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan penularan Koronavirus. AFP
AFP

WUHAN: Perdana Menteri China Li Keqiang mengadakan lawatan pertamanya di wilayah itu sejak wabak Koronavirus melanda dan merebak hingga menjadi perhatian dunia.

AFP melaporkan, lawatan turun padang Li itu bagi bertemu pesakit dan kakitangan selain meninjau keadaan terkini.

Beliau turut memantau usaha sedang dilakukan pihak berkuasa bagi mengawal penyebaran virus itu.

“Li berada di Wuhan untuk melihat dan memantau usaha yang sedang dijalankan bagi mengawal virus itu,” kata Majlis Negeri China dalam satu kenyataan dimuat naik di akaun rasmi media sosial hari ini.

Sementara itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga kini dilaporkan berada di Beijing bagi membincangkan langkah penyelesaian mengatasi wabak berkenaan.

“Saya dalam perjalanan ke Beijing bertemu pakar kesihatan dan kerajaan yang menyokong respon #coronavirus.

“Saya dan rakan WHO ingin mengetahui dan memahami lebih lanjut perkembangan terkini selain mahu mengukuhkan lagi kerjasama dengan China dalam menangani wabak ini,” katanya dalam Twitter semalam.

Setakat pagi ini, Suruhanjaya Kesihatan National China mengesahkan angka kematian mencecah 80 mangsa manakala jangkitan meningkat kepada 2,744 di seluruh negara itu.

Hampir 6,000 orang disyaki dijangkiti virus itu manakala lebih 30,000 orang masih di bawah pengawasan perubatan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 12:19 PM