GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Wuhan: Misi siasatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke China untuk mengesan asal-usul Covid-19 gagal mengenal pasti jenis haiwan yang menjadi punca jangkitan virus itu.

Malah, siasatan pasukan berkenaan turut menyangkal teori yang dibangkitkan Donald Trump bahawa virus berkenaan berpunca daripada makmal virologi di Wuhan.

Pakar percaya virus yang setakat ini menjangkiti 107 juta mangsa dan mengorbankan 2.4 juta nyawa di 219 negara di seluruh dunia, berasal daripada kelawar dan mungkin dipindahkan kepada manusia menerusi mamalia lain.

Menurut ketua pasukan penyiasat China, Liang Wannian, walaupun jangkitan dipercayai berpunca daripada haiwan, hos asal masih belum dapat dikenal pasti.

"Kajian menunjukkan virus ini boleh dibawa ke lokasi yang jauh jika berada pada produk sejuk beku, menunjukkan kemungkinan virus ini mungkin diimport, satu teori yang makin kerap dibangkitkan di China sejak kebelakangan ini.

"Pada masa sama, tiada petanda bahawa penyakit akibat Covid-19 sudah menular di Wuhan sebelum Disember 2019, apabila kes rasmi pertama dilaporkan," katanya.

Pakar asing WHO, Peter Ben Embarak, yang pernah bertugas di WHO Beijing selama dua tahun bermula 2009, menyokong dapatan itu dengan menyatakan tiada 'penularan besar wabak' di Wuhan sebelum akhir 2019.

Misi siasatan WHO itu mencetuskan banyak isu diplomatik sebelum ia bermula lagi, dengan Amerika Syarikat (AS) menuntut siasatan terperinci dan menuduh China cuba menyembunyikan bukti awal pandemik.

Embarek turut menyangkal teori bahawa virus itu berpunca dari makmal virologi menyebabkan pandemik di seluruh dunia.

"Hipotesis insiden makmal itu tidak sama sekali terpakai dalam pandemik ini.

"Kami juga tidak menyarankan hipotesis ini untuk kajian akan datang," katanya.

Sepanjang misi siasatan yang diawasi rapi itu, media dilarang menemui anggota pasukan siasatan dan hasil dapatan mereka hanya dikongsi melalui Twitter atau temu bual tertentu.

Malah, kumpulan itu hanya menghabiskan masa sejam di pasar makanan laut Wuhan, di mana kluster pertama jangkitan besar-besaran dilaporkan lebih setahun lalu.

Mereka juga dilihat menghabiskan beberapa hari di dalam hotel, dengan hanya menerima lawatan pelbagai pegawai kanan China, tanpa meninggalkan bandar penginapan mereka.

Bagaimanapun, penyelidikan lebih mendalam dilakukan di Institut Virologi Wuhan (WIV) di mana mereka menghabiskan hampir empat jam.

Di sana, mereka turut menemui saintis China termasuk Shi Zhengli, seorang pakar koronavirus.

Sebelum ini, bekas Presiden AS, Donald Trump, beberapa kali mengulangi teori kontroversi beliau mengatakan virus itu mungkin bocor dari institut virologi itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 9:26 PM