PELANCONG China memakai topeng muka dan alkan diperiksa sebaik tiba di lapangan terbang di Amerika Syarikat. FOTO REUTERS.
PELANCONG China memakai topeng muka dan alkan diperiksa sebaik tiba di lapangan terbang di Amerika Syarikat. FOTO REUTERS.
Agensi

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis berpendapat masih terlalu awal untuk mengklasifikasikan wabak koronavirus sebagai kecemasan antarabangsa.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, belum sesuai untuk mengklasifikasikan wabak itu memandangkan kawasan yang dijangkiti masih terhad.

Menurutnya, koronavirus boleh diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) sekiranya ia terus merebak.

“WHO tidak mengumumkan PHEIC hari ini. Virus ini hanya dianggap kecemasan di China tetapi masih belum dianggap bencana kesihatan dunia,” katanya pada sidang media di Geneva.

Namun, beliau menegaskan WHO masih memantau rapi dan secara serius perkembangan wabak berkenaan.

Katanya, sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan virus itu tersebar antara manusia ke manusia di luar China.

“Terima kasih kepada China kerana mengambil langkah yang sesuai untuk menghalang penyebaran koronavirus di Wuhan dan bandar lain,” katanya.

Virus terbaharu itu kini sudah mengorbankan 18 nyawa sejak tersebar menerusi pasar makanan laut dan haiwan di Wuhan, China.

Kini, China sudah mengkuarantin hampir 20 juta rakyatnya untuk mengelak penyebaran wabak lebih meluas, terutama kepada mereka yang akan bercuti sempena Tahun Baru Cina minggu ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 11:11 AM