PETIKAN video lelaki Palestin yang sengaja ditembak polis wanita Israel.
PETIKAN video lelaki Palestin yang sengaja ditembak polis wanita Israel.
Agensi

BAITULMAQDIS: Seorang anggota polis wanita Israel dipecat dan mungkin dihadapkan ke mahkamah berikutan tersebar rakaman video menunjukkan dia sengaja menembak seorang lelaki Palestin dengan peluru getah.

Menurut kenyataan polis Israel, Kementerian Kehakiman sudah membuka kertas siasatan dan pegawai lain yang terbabit dalam kejadian itu dipindahkan ke bahagian lain.

Rakaman video kejadian yang berlaku di pos kawalan al-Zaim pinggir Baitulmaqdis, lebih setahun lalu, yang dibocorkan baru-baru ini menunjukkan polis wanita itu menyuruh mangsa yang ditahan untuk pemeriksaan biasa, beredar.

Video itu turut disiarkan dalam televisyen Israel memaparkan beberapa polis Israel menjerit mengarahkan mangsa beredar dalam bahasa Arab.

Selepas lelaki berkenaan berjalan beberapa meter, dia memberi arahan lain menyebabkan mangsa panik serta keliru dan polis wanita itu melepaskan tembakan. Mangsa rebah dan menjerit kesakitan akibat terkena peluru getah.

Akhbar Haaretz melaporkan mangsa cedera serius, namun polis Israel menafikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 11:30 AM