PASUKAN perubatan mengusung penunjuk perasaan Palestin yang cedera dalam pertempuran berkenaan. FOTO EPA
PASUKAN perubatan mengusung penunjuk perasaan Palestin yang cedera dalam pertempuran berkenaan. FOTO EPA
AFP

Baitulmaqdis: Kira-kira 270 penunjuk perasaan Palestin cedera, kebanyakannya terkena tembakan gas pemedih mata dalam pertempuran dengan tentera Israel di Tebing Barat, semalam, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Pertempuran paling hebat berlaku di Kampung Beita, dekat Nablus di utara Tebing Barat di mana penduduk sering mengadakan sering demonstrasi, sejak Mei.

Ia berlaku ketika pendatang Yahudi mula meletakkan karavan dan membuka jalan di kawasan puncak bukit yang dipertikaikan, lapor AFP.

Kebanyakan mereka yang cedera memerlukan rawatan akibat gas pemedih mata, sementara tujuh orang Palestin cedera akibat peluru hidup, manakala 50 yang lain kerana peluru getah.

Tentera Israel memberitahu AFP, kira-kira 150 orang Palestin di Beita melemparkan batu dan membakar tayar ke arah tentera yang bertindak balas termasuk dengan melepaskan tembakan.

Di selatan wilayah itu, tentera bertembung dengan penduduk Palestin di Beit Ummar yang berkabung selepas kematian Shawkat Khalid Awad, 20, yang terbunuh akibat tembakan tentera Khamis lalu ketika pengebumian seorang kanak-kanak.

Dua orang Palestin cedera parah selepas ditembak tentera Israel di Beita sejak seminggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 10:17 AM