TENTERA Israel menyuraikan penunjuk perasaan warga Palestin. FOTO AFP
TENTERA Israel menyuraikan penunjuk perasaan warga Palestin. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Polis Israel memukul dan menahan penduduk Palestin pada Selasa, selepas menutup Gerbang Damsyik di sini.

Middle East Eye (MEE) melaporkan, tindakan itu bertujuan memberi laluan kepada kepada penduduk Israel berkumpul dan memulakan perarakan nasionalis yang provokatif melalui Kota Lama Baitulmaqdis.

Perarakan digelar March of the Flags itu diadakan selepas dibatalkan sebelum ini kerana serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan ancaman pengusiran keluarga Palestin yang menyebabkan huru-hara di Baitulmaqdis.

Ia kemudian disusuli serangan rejim zionis selama 11 hari di Semenanjung Gaza.

MEE melaporkan selepas menutup jalan tertentu dan Gerbang Damsyik, polis Israel dikatakan menahan rakyat Palestin di Baitulmaqdis, menjelang perarakan itu.

Video dimuat naik di Twitter menunjukkan pegawai Israel memukul seorang Palestin di tangga dekat Gerbang Damsyik.

Bulan Sabit Merah memaklumkan seramai 27 individu cedera semasa konfrontasi dengan pihak berkuasa Israel di sekitar Kota Lama Baitulmaqdis dengan tiga daripada akibat terkena peluru keluli bersalut getah, seorang dipukul dan satu lagi mangsa terkena bom tangan.

Dua mangsa dikejarkan ke hospital berikutan insiden berkenaan.

Pihak berkuasa juga dilaporkan memukul peniaga yang bekerja di premis berhampiran Gerbang Damsyik dan mengusir mereka dari Kota Lama Baitulmaqdis .

Lebih 1,000 penduduk Israel mengibarkan bendera berkumpul di Gerbang Damsyik ketika awal perarakan sambil menyanyikan lagu.

Video yang dimuat di laman sosial menunjukkan penduduk Israel mengibarkan bendera dan melaungkan 'Mati Arab'.

Mereka turut menjulang pemimpin politik dalam acara perarakan berkenaan.

March of the Flags adalah acara perarakan sempena tindakan rejim zionis Israel menguasai Baitulmaqdis Timur selepas Perang Enam Hari pada 1967.

Lazimnya, pada acara itu, penduduk Israel akan berhimpun, mengibarkan bendera dan melaungkan slogan anti-Palestin ketika melalui jalan di Kota Lama Baitulmaqdis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 11:27 AM