ANGGOTA polis menyiasat kawasan kejadian di Essex.
ANGGOTA polis menyiasat kawasan kejadian di Essex.
AFP

NGHE AN, Vietnam: Rakyat Vietnam dipercayai antara 39 pendatang ditemui maut dalam sebuah kontena sejuk beku di Britain minggu ini, kata ahli keluarga dan wakil masyarakat setempat.

Polis Britain sebelum ini memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua 31 lelaki dan lapan mayat wanita yang ditemui dalam sebuah lori di kawasan perindustrian Essex minggu lalu adalah rakyat China.

Bagaimanapun, beberapa keluarga di Vietnam tampil dan memberitahu kehilangan ahli keluarga mereka yang cuba menyeludup masuk ke Britain.

Kesemua keluarga berkenaan datang dari kawasan miskin dan pedalaman di bahagian tengah Vietnam, lokasi utama untuk pendatang berkumpul sebelum memulakan perjalanan berbahaya ke Eropah.

Sebahagian besar diseludup menerusi Russia dan China, dengan membayar puluhan ribu serta menggunakan dokumen palsu, sebelum akhirnya terbabit bekerja di ladang ganja atau salun.

Beberapa keluarga semalam memberitahu, mereka bimbang ahli keluarga masing-masing adalah antara yang ditemui mati.

Di wilayah Ha Thinh, bapa kepada Nguyen Dinh Luong, 20, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Vietnam di United Kingdom minggu ini yang memberitahu, anak lelakinya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Britain.

“Saya rebah sebaik mendengar berita itu. Dia dikatakan berada dalam trak berkenaan dan semuanya meninggal dunia,” kata Nguyen Dinh Gia.

Kumpulan komuniti berpangkalan di Britain, VietHome berkata, mereka menerima foto hampir 20 individu yang dilaporkan hilang, berusia antara 15 hingga 45 tahun dan berasal dari Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 9:39 AM