TRUK yang membawa 31 lelaki dan 8 wanita Vietnam. FOTO/AGENSI
TRUK yang membawa 31 lelaki dan 8 wanita Vietnam. FOTO/AGENSI
AFP

HANOI: Golongan muda, impian tinggi dan dari keluarga miskin Vietnam sanggup berhutang dan menggadaikan nyawa untuk ke Eropah dengan menyelinap di laluan ‘tikus’ demi mengejar masa hadapan yang lebih cerah.

Namun begitu, merentas secara haram ke Eropah terbongkar minggu ini apabila 31 lelaki dan lapan wanita ditemui mati dalam trak sejuk beku di Britain.

Kebanyakan pendatang Vietnam datang dari wilayah tengah, golongan muda yang dipengaruhi penyeludup untuk mencari pekerjaan di luar negara kerana bosan dengan kehidupan kampung dan kekurangan peluang. Terpengaruh dengan perkembangan saudara atau kawan di United Kingdom, Perancis dan Jerman yang memuat naik status di Facebook dan wang dihantar ke kampung, sudah cukup membuktikan penghijrahan mereka itu berbaloi.

Kumpulan penyeludup menggunakan rangkaian di beberapa bandar utama Vietnam yang jauh di pedalaman dan di Eropah timur dengan mengenakan bayaran sehingga AS$40,000 (RM167,464) sebagai tiket untuk keluar daripada kemiskinan.

“Penyeludup sering bercerita kehidupan indah di Britain,” kata pakar migrasi berpangkalan Paris, Nadia Sebtaoui kepada AFP.

Mereka sering dijanjikan gaji pokok sehingga £3,000 (RM15,909) sebulan iaitu tiga kali ganda pendapatan tahunan di wilayah paling miskin di Vietnam. Tetapi realiti sebenarnya sering berbeza.

“Mereka langsung tidak mempunyai kesedaran realiti bekerja di Eropah,” kata Sebtaoui, sambil menambah ramai yang bekerja sebagai jururias tangan dan kuku, petani ganja atau pekerja seks.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 9:23 PM