TRAK yang membawa 39 mangsa berhampiran London. FOTO/AGENSI
TRAK yang membawa 39 mangsa berhampiran London. FOTO/AGENSI
Agensi

YEN THANH: Sebahagian besar daripada 39 mangsa yang ditemui mati di dalam kontena sebuah trak berhampiran London pada Rabu lalu mungkin berasal dari Vietnam.

Polis British mempercayai mangsa adalah rakyat China, namun Beijing belum mengesahkan identiti mereka.

Mangsa dipercayai dari Vietnam itu dikatakan berasal dari wilayah Nghe An dan Ha Tinh di kawasan pedalaman.

Paderi Anthony Dang Huu Nam yang tinggal di pekan Yen Tanh, Nghe An berkata, beberapa keluarga memaklumkan saudara mereka yang dalam perjalanan ke Britain gagal dihubungi.

Nam berkata, dia masih mengumpul butiran kenalan untuk keluarga mangsa, lapor Reuters.

Kementerian Luar Negeri Vietnam dalam satu kenyataan hari ini meminta kedutaannya di London untuk membantu polis mengenalpasti identiti mangsa.

Menurut AFP, sekurang-kurangnya dua keluarga tampil memberitahu saudara mereka dikhuatiri antara mangsa dalam kontena itu dan disyaki menggunakan pasport palsu China.

Nguyen Dinh Gia berkata, anak lelakinya yang menetap di Perancis secara haram sejak tahun lalu menghubunginya dua minggu lalu untuk memberitahu rancangannya ke Britain.

Keluarga Pham Thi Tra My, 26, turut mempercayai wanita itu antara mangsa maut selepas ibunya menerima kiriman mesej memberitahu dia sesak nafas ketika dalam perjalanan dari Belgium ke Britain.

Menurut laporan media tempatan, seramai 41,790 penduduk meninggalkan Ha Tinh pada lapan bulan pertama tahun ini untuk mencari pekerjaan di tempat lain termasuk di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:08 PM