RAKAMAN CCTV Crusius memasuki pasar raya Walmart di El Paso. FOTO AFP
RAKAMAN CCTV Crusius memasuki pasar raya Walmart di El Paso. FOTO AFP
AFP

WASHINGTON: Seramai 29 terbunuh ditembak lelaki bersenjata dengan pengganas kulit putih dikenali sebagai Patrick Crusius, 21, membunuh 20 orang di Texas, manakala penyerang kulit putih menembak mati sembilan orang di Ohio, Amerika Syarikat, sebelum dia ditembak mati oleh polis.

Berikut antara kejadian tembakan terburuk dalam sejarah Amerika.

1 Oktober 2017: Pesara akauntan 64 tahun melepaskan tembakan dari tingkap hotelnya ke arah pengunjung konsert muzik ‘country’, membunuh 58 orang dan mencederakan 550 lagi sebelum dia membunuh diri.

12 Jun 2016: Lelaki bersenjata lengkap melepaskan tembakan dalam kelab gay di Orlando, membunuh 49 orang. Penyerang itu mati ditembak polis.

Disember 2012: Lelaki 20 tahun yang mengalami masalah mental membunuh ibunya di Newtown, Connecticut sebelum menembak mati 20 budak enam hingga tujuh tahun dan enam dewasa di sebuah sekolah. Dia kemudiannya membunuh diri.

5 November 2017: Bekas tentera udara berusia 26 tahun menembak mati 25 orang di sebuah gereja di Sutherland Springs di San Antonio, Texas. Dia ditemui mati di dalam kenderaannya selepas menembak dirinya.

14 Februari 2018: Pelajar yang dibuang sekolah menembak rakan-rakannya di sebuah sekolah di Parkland, Florida yang membunuh 14 pelajar dan tiga pekerja. Perbicaraan pelajar itu dijangka pada Januari 2020.

Disember 2015: Satu pasangan melepaskan tembakan di parti Krismas di sebuah pejabat di San Bernardino menyebabkan 14 orang maut. Pasangan itu kemudiannya ditembak mati oleh polis.

31 Mei 2019: Seorang jurutera menembak mati 12 rakan sekerjanya di sebuah pejabat perbandaran di Virginia Beach. Lelaki 40 tahun itu maut selepas berbalas tembakan dengan polis.

7 November 2018: Bekas askar marin melepaskan tembakan di sebuah bar di California menyebabkan 12 pengunjung terbunuh. Lelaki 28 tahun yang pernah berkhidmat di Afghanistan ditemui membunuh diri.

Julai 2012: Seramai 12 orang maut selepas seorang lelaki yang memakai baju perisai melepaskan tembakan di sebuah panggung wayang yang menayangkan filem Batman di Aurora, Colorado. Lelaki itu kemudiannya dihukum penjara seumur hidup.

27 Oktober 2018: Lelaki 46 tahun menyerbu sebuah kuil Yahudi di Pittsburg dan melepaskan tembakan yang membunuh 11 orang. Dia didakwa atas 29 tuduhan yang sebahagian memperuntukkan hukuman mati.

18 Mei 2018: Pelajar berusia 17 tahun membawa senapang dan pistol revolver milik bapanya sebelum menembak pelajar lain di sekolahnya di Santa Fe, Texas menyebabkan 10 orang terbunuh termasuk lapan pelajar. Dia ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 10:09 PM