ANTARA kenderaan yang ditembak. FOTO/AGENSI
ANTARA kenderaan yang ditembak. FOTO/AGENSI
Reuters

TEXAS: Seramai lima orang termasuk seorang penembak dalam lingkungan 30-an maut manakala 21 lain cedera dalam serangan senjata di Midland dan Odessa di barat Texas, semalam, kata pihak berkuasa.

Kejadian tembakan itu difahamkan bermula selepas suspek merampas van pejabat pos lalu melepaskan tembakan ke arah pegawai polis, penunggang motosikal dan orang ramai pada hujung minggu yang sibuk sebelum ditembak mati di luar kompleks pawagam di Odessa, kata polis.

Pihak berkuasa sebelum ini percaya ada dua penembak dalam kenderaan berasingan, tetapi Ketua Polis Odessa, Michael Gerke memberitahu media hanya seorang penembak sahaja.

“Lelaki bersenjata itu dilaporkan menuju ke Odessa dari Midland lalu berhenti di Interstate 20 pada 3.17 pagi (waktu tempatan) sebelum menembak seorang pegawai polis.

“Dia kemudiannya memandu ke Home Depot di Odessa dan melepaskan tembakan rambang. Pada satu ketika, suspek merempuh sebuah kenderaan alat tulis berdekatan belakang kompleks Odessa Cinergy lalu berbalas tembakan dengan polis dan suspek ditembak mati,” kata Gerke.

Hospital Pusat Perubatan di Odessa menerima 13 mangsa, termasuk seorang maut, kata pengarah hospital Russell Tippin kepada pemberita.

“Tujuh dalam keadaan kritikal, dua darinya serius dan dua lagi stabil. Seorang pesakit pediatrik di bawah umur dua tahun dipindahkan ke bahagian lain,” katanya.

Datuk Bandar Midland Jerry Morales, berkata suspek menggunakan senapang untuk menembak pegawai Jabatan Keselamatan Awam Texas ketika mengarah suspek memberhentikan kenderaannya, tetapi tiada sebarang maklumat mengenai senjata itu.

Morales berkata, tiga pegawai polis cedera ditembak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 12:20 PM