GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

HANOI : Pihak berkuasa Vietnam menghukum mati 10 individu atas kesalahan menyeludup methamphetamine, ketamin dan ekstasi di seluruh negara menggunakan kereta api, lapor media negara itu hari ini.

Media rasmi negara melaporkan, kumpulan terbabit didapati bertanggungjawab memindahkan 300 kilogram dadah dari utara Vietnam ke Ho Chi Minh antara 2015 dan 2016.

Lima lelaki dan lima wanita dijatuhkan hukuman mati selepas perbicaraan minggu ini di Hanoi manakala dua lagi dihukum penjara seumur hidup.

Laman berita rasmi, Vietnamnet melaporkan, kedua-dua ketua kumpulan itu menerima bayaran berjumlah ratusan ribu dolar sebagai upah menyeludup dadah berkenaan.

Pegawai mahkamah bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Dakwaan ke atas kumpulan itu adalah susulan kepada serbuan di sekitar Vietnam.

Mana-mana individu yang ditangkap bersama lebih daripada 600 gram heroin atau lebih daripada 2.5 kilogram methamphetamine boleh dijatuhkan hukuman mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 3:11 PM