SETIAP pembesar suara itu disumbat 10 paket teh dan semuanya mengandungi dadah. FOTO: AFP
SETIAP pembesar suara itu disumbat 10 paket teh dan semuanya mengandungi dadah. FOTO: AFP
AFP

HANOI: Polis merampas lebih satu tan dadah jenis methamphetamin yang disembunyikan di dalam alat pembesar suara sekali gus dianggap sebagai rampasan ketiga terbesar dalam tempoh seminggu di Vietnam.

AFP yang memetik kenyataan polis berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menemui dua trak dan kereta dipandu dua lelaki warga Taiwan, diletakkan di bandar Ho Chi Minh pada 12 April lalu.

Menurut polis, mereka mengesyaki sesuatu selepas pemandu trak berkenaan didapati tidak mempunyai dokumen lengkap untuk membawa muatan besar yang terdiri daripada alat pembesar suara.

“Hasil pemeriksaan didapati terdapat 600 paket teh cina berwarna emas mengandungi 606 kilogram dadah jenis methamphetamin disumbat dalam alat pembesar suara itu.

“Setiap pembesar suara itu mempunyai 10 paket teh dan semuanya mengandungi dadah,” katanya.

Polis kemudian mengesan destinasi laluan trak itu kepada seorang lelaki Vietnam sebelum membawa penemuan sejumlah lagi dadah, menggunakan modus operandi sama.

“Secara keseluruhannya, polis merampas 103 alat pembesar suara dengan 1,110.26 kilogram methamphetamin dan 998.68 kilogram ketamin dipercayai untuk diedarkan dalam negara dan dieksport semula,” katanya.

Dua lelaki Taiwan dan lelaki warga Vietnam itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 5:12 PM