UBAT gigi mengandungi dadah. FOTO Kastam Ho Chi Minh City
UBAT gigi mengandungi dadah. FOTO Kastam Ho Chi Minh City
Agensi

Hanoi: Menyembunyikan dadah di dalam tiub ubat gigi. Itu taktik sindiket pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas pihak berkuasa Vietnam berjaya menahan 65 individu kerana menyeludup 50 kilogram (kg) dadah ke negara itu.

Menurut laporan BBC, dadah berkenaan disembunyikan di dalam tiub ubat gigi.

Tangkapan minggu ini itu susulan penahanan empat anak kapal Vietnam Airlines pada Mac lalu.

Mereka didapati membawa tiub ubat gigi di dalam beg dibawa mereka ketika penerbangan dari Paris ke Ho Chi Minh City.

Kru penerbangan berkata, mereka diupah untuk mengangkut ubat gigi itu seberat kira-kira 60 kg dengan mendakwa tidak tahu tiub itu mengandungi dadah.

Penyiasat berkata, empat wanita itu kini diikat jamin.

Media tempatan melaporkan, polis Vietnam berkata, minggu ini mereka menemui enam lagi penghantaran dadah yang diseludup masuk ke negara itu melalui laluan sama.

Katanya, 65 suspek itu ditahan dan disiasat atas pelbagai pertuduhan termasuk membeli, menjual dan mengangkut dadah.

Polis percaya kumpulan sama yang mengupah kru penerbangan itu memberi arahan terhadap 65 suspek terbabit dan sindiket itu berkemungkinan memperdaya rakyat Vietnam yang belajar dan tinggal di Perancis untuk membawa dadah ke Vietnam.

Jumlah dadah yang dirampas melalui laluan udara ke negara itu sejak tiga bulan lalu melebihi jumlah dadah bawaan udara yang diperdagangkan dalam tempoh lima tahun lalu.

Di Vietnam, mereka yang disabitkan kerana memiliki atau menyeludup lebih daripada 600 gram heroin atau methamphetamine lebih daripada 2.5 kg, berdepan hukuman mati.

Penalti sama dikenakan untuk pengeluaran atau penjualan narkotik haram melebihi kuantiti tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 10:28 AM