AFP

Wellington: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menuntut penjelasan Facebook dan beberapa firma media sosial lain mengenai bagaimana serangan masjid yang membunuh 50 orang boleh disiarkan secara langsung di platform itu.

AFP yang memetik Ardern berkata, ketua pegawai operasi Facebook, Sheryl Sandberg sudah berhubung dan ‘mengambil maklum dengan kejadian berlaku di New Zealand’.

“Kami melakukan sedaya upaya untuk memastikan video itu dapat dibuang. Ia tersebar di media sosial sebaik berlakunya serangan itu.

“Namun, ia terpulang kepada platform media sosial itu untuk membuangnya,” katanya.

Video serangan kejam pengganas yang menembak puluhan jemaah itu disiarkan secara langsung di Facebook sebelum ia dibuang oleh syarikat aplikasi media sosial terbabit.

Bagaimanapun, video berdurasi 17 minit itu dikongsi berulang kali di You Tube dan Twitter serta beberapa platform lain.

Sementara itu, jurucakap Facebook New Zealand, Mia Garlick dalam kenyataannya hari ini memberitahu, pihaknya akan bekerja keras untuk mengeluarkan video ganas itu.

“Dalam tempoh 24 jam pertama kami membuang 1.5 juta video serangan itu dari seluruh dunia yang mana lebih 1.2 juta video sudah disekat ketika dimuat naik,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 4:22 PM
ARDERN menuntut penjelasan Facebook dan beberapa firma media sosial lain. FOTO Reuters
ARDERN menuntut penjelasan Facebook dan beberapa firma media sosial lain. FOTO Reuters