MILO YIANNOPOULOS
MILO YIANNOPOULOS
AFP

SYDNEY: Australia tidak mengeluarkan visa kepada aktivis berhaluan kanan, Milo Yiannopoulos yang melabelkan Islam sebagai ‘kejam’ dan ‘asing’ susulan keganasan di masjid di New Zealand, kata pegawai hari ini.

“Milo Yiannopoulos tidak akan dibenarkan memasuki Australia bagi tujuan melancong tahun ini.

“Kenyataan beliau di media sosial mengenai serangan pengganas di Christchurch dianggap keji dan membangkitkan kebencian serta perpecahan,” kata Menteri Imigresen, David Coleman dalam satu kenyataan.

Media Australia melaporkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Scott Morrison sudah memutuskan sejak Mac lalu untuk tidak mengeluarkan visa kepada Yiannopoulos, tetapi mengubah keputusan itu selepas dibantah puak konservatif dalam Parti Liberal.

Kebiasaannya kerajaan Australia enggan memberi komen mengenai keputusan visa individu, tetapi membuat pengecualian hari ini susulan keganasan mengorbankan 49 umat Islam di New Zealand yang dilakukan pelampau berhaluan kanan kelahiran Australia.

Tindakan itu dibuat selepas Yiannopoulos menyiarkan komen di Facebook dengan mengatakan serangan seperti di New Zealand berlaku kerana kerajaan ‘memberi muka kepada budaya agama kejam dan asing’.

Coleman membalas dengan berkata serangan pengganas di Christchurch dilancarkan ke atas umat Islam yang mengamalkan agama mereka dengan aman.

“Itu adalah tindakan yang amat jahat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 7:12 PM