SEORANG penduduk cuba menyeberangi air yang naik akibat banjir di Beira, bandar kedua terbesar di Mozambique. FOTO AFP
SEORANG penduduk cuba menyeberangi air yang naik akibat banjir di Beira, bandar kedua terbesar di Mozambique. FOTO AFP
AFP

MAPUTO: Sekurang-kurangnya 66 terbunuh dan 141,000 lagi terjejas akibat hujan lebat di tengah dan utara Mozambique, kata kerajaannya yang turut merayu dana untuk menangani krisis itu.

“Kerajaan mengeluarkan amaran merah disebabkan hujan berterusan serta taufan tropika Idai yang dijangka melanda antara esok dan Jumaat,” kata jurucakap Kabinet, Ana Comoana.

Beliau bercakap kepada wartawan lewat semalam selepas mesyuarat Majlis Menteri yang diadakan di Maputo untuk membincangkan masalah banjir teruk itu.

Banjir di salah satu negara paling miskin di Afrika itu sudah memusnahkan 5,756 rumah, menjejaskan 15,467 penghuni dan 141,325 penduduk.

Seramai 111 orang cedera, 18 hospital musnah, 938 bilik darjah rosak teruk dan menjejaskan 9,763 pelajar. Jurucakap kerajaan berkata, lebih 168,000 hektar tanaman juga musnah.

Pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan wajib kepada penduduk yang menetap di kawasan terdedah kepada banjir.

“Sebanyak 16 pusat penempatan dibuka di Zambezia dan Tete untuk menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal. Kerajaan memerlukan AS$16 juta (RM65 juta) untuk membantu 80,000 keluarga yang terjejas,” kata Comoana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:39 PM