Pegawai Pihak berkuasa penerbangan awam Mozambique menunjukkan serpihan yang ditemui di pantai negara itu.
Pegawai Pihak berkuasa penerbangan awam Mozambique menunjukkan serpihan yang ditemui di pantai negara itu.
AFP

Maputo: Pihak berkuasa penerbangan awam Mozambique menyerahkan serpihan yang dipercayai milik MH370 kepada pasukan Malaysia di sini, hari ini.

Jika disahkan sebagai milik MH370, serpihan itu yang ditemui di pantai Mozambique boleh memberi petunjuk baru pencarian pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dua tahun lalu.

“Kami secara rasmi menyerahkan serpihan ini kepada pakar Malaysia pagi ini,

“Jika ia disahkan milik MH370, pasukan pakar ini akan kembali ke Mozambique untuk melakukan siasatan lanjut,” kata Presiden Institut Penerbangan Awam Mozambique, Joao de Abreu.

Pasukan Malaysia akan berlepas dari Maputo esok dan serpihan itu akan dibawa ke Australia untuk dianalisa.

Serpihan itu ditemui minggu lalu di pantai dekat Vilankulo oleh Blaine Gibson, peguam dari Seattle yang menyiasat kehilangan MH370.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 10:45 PM