EMPAT dana  umum utama Amerika Syarikat yang memegang saham dalam Facebook Inc, cadang pecat Zuckerberg. FOTO/AFP
EMPAT dana umum utama Amerika Syarikat yang memegang saham dalam Facebook Inc, cadang pecat Zuckerberg. FOTO/AFP
Reuters

WASHINGTON: Empat dana umum utama Amerika Syarikat yang memegang saham dalam Facebook Inc, semalam mencadangkan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif media sosial itu, Mark Zuckerberg, sebagai pengerusi susulan beberapa skandal berprofil tinggi.

Mereka juga berharap langkah itu mendapat sokongan daripada pengurus aset lebih besar lain.

Bendahari negeri dari Illinois, Rhode Island dan Pennsylvania, dan pegawai kewangan New York City, Scott Stringer, memfailkan cadangan itu bersama-sama.

Cadangan pemegang saham sama yang mahukan pengerusi bebas dikalahkan pada 2017 di Facebook, yang menyaksikan kawalan majoriti Zuckerberg menjadikan resolusi luar cuma satu simbolik.

Bendahari Rhode Island, Seth Magaziner, berkata cadangan terbaru itu masih berbaloi difailkan bagi membuka jalan menarik perhatian kepada masalah Facebook dan cara menyelesaikannya.

Sekurang-kurangnya tiga daripada empat dana awam menyokong resolusi 2017.

Cadangan terkini, untuk mesyuarat pemegang saham tahunan Facebook pada Mei 2019, meminta lembaga menubuhkan pengerusi lembaga bebas untuk meningkatkan pengawasan, amalan biasa di syarikat lain.

Ia merujuk kontroversi yang menjejaskan reputasi rangkaian media sosial terbesar dunia itu, termasuk perkongsian maklumat pengguna tanpa izin, berita palsu dan campur tangan asing dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 10:25 AM