Kuala Lumput: Pemegang saham minoriti Malaysian Airline System Bhd (MAS) hari ini meluluskan cadangan pengurangan modal Terpilih (cadangan SCR) dan pembayaran semula syarikat itu mengikut Seksyen 60 dan 64 Akta Syarikat 1965.

Cadangan SCR dibuat oleh Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham majoriti MAS, dalam surat kepada syarikat pada 8 Ogos, 2014, demikian menurut MAS dalam satu kenyataan.

Pemegang saham biasa minoriti, akan menerima pembayaran semula modal RM0.27 sesaham yang juga premium bagi lima hari hingga enam bulan purata wajaran harga saham, masing-masing pada 14.9 peratus hingga 22.8 peratus.

Kelulusan daripada pemegang saham minoriti untuk menerima Cadangan SCR dibuat pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung di Akademi MAS di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Jika semuanya berjalan lancar, Cadangan SCR itu disasarkan selesai pada Disember 2014 dan ketika itu MAS akan dinyahsenarai dari Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Sehingga ini, tiada gangguan ke atas operasi MAS.

“Syarikat akan terus beroperasi, memenuhi tempahan pelanggan dan pelan perjalanan akan datang,” katanya.

MAS berkata, cadangan SCR menawarkan pemegang saham minoriti peluang untuk keluar pada premium semasa saham MAS, supaya tidak terbabit dalam risiko dan ketidaktentuan bersabit pelaksanaan penstrukturan semula yang kini dirancang oleh pasukan pengurusan MAS dan berdedikasi.

“Keputusan yang dibuat oleh pemegang saham minoriti hari ini yang menyokong Cadangan SCR adalah berdasarkan harga tawaran yang adil dan munasabah seperti yang dinyatakan oleh penasihat bebas, AmInvestment Bank Bhd, dalam surat nasihat bebas bertarikh 15 Okt, 2014, selain cadangan pengarah bebas MAS supaya mengundi memihak kepada Cadangan SCR,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya.

“Kelulusan pemegang saham itu merupakan halangan pertama terbesar dan banyak lagi yang perlu dilakukan. Kami berharap dapat menyelesaikan proses SCR ini sebelum akhir tahun,” katanya.

Cadangan SCR akan menjadi tidak bersyarat selepas memperoleh perintah yang dimeterai daripada Mahkamah Tinggi Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 8:31 PM