FACEBOOK
FACEBOOK
AFP

Sydney: Facebook akan menarik semula sekatan penyiaran berita dan akan membayar agensi media tempatan untuk kandungan yang disiarkan di platform berkenaan.

Bendahari Australia, Josh Frydenberg mengumumkan mengenai perjanjian yang akan menyaksikan Google dan Facebook menyerahkan puluhan juta dolar ke dalam sektor berita tempatan yang sedang bergelut ketika ini.

Sebagai balasannya, firma digital Amerika Syarikat (AS) ketika ini, tidak akan dikenakan pembayaran mandatori yang lebih membebankan.

Hanya beberapa jam selepas kerjasama itu dilancarkan, Facebook mengumumkan perjanjian pertama yang dicadangkan dengan sebuah syarikat media Australia, Seven West, dan dikatakan akan melakukan perjanjian komersial dengan organisasi berita tempatan lain.

Syarikat itu dijangka menggunakan kandungan itu untuk melancarkan produk berita khusus di Australia akhir tahun ini.

"Hasil daripada perubahan ini, kami sekarang dapat berusaha untuk meningkatkan pelaburan kami dalam kewartawanan kepentingan awam, dan memulihkan berita di Facebook untuk warga Australia dalam beberapa hari mendatang," kata Will Easton, Pengarah Urusan Facebook Australia.

Firma media sosial itu mencetuskan kemarahan global minggu lalu dengan menyekat berita untuk pengguna Australia sebagai protes terhadap undang-undang yang dicadangkan, dan secara tidak sengaja menyekat rangkaian laman bukan berita yang berkaitan dengan segala-galanya dari badan amal barah hingga perkhidmatan tindak balas kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:48 PM