ANTARA sukarelawan yang terlibat dengan misi mencari. -Foto AFP
ANTARA sukarelawan yang terlibat dengan misi mencari. -Foto AFP
AGENSI/AFP

JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) mengumumkan 11 Oktober sebagai tarikh menamatkan operasi mencari mangsa terselamat dalam gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah.

“Operasi mencari disasarkan tamat pada 11 Oktober, iaitu mengikut tempoh yang ditetapkan oleh prosedur kecemasan kebangsaan,” kata Ketua Bahagian Data, Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurut laman web Tempo.co, Kerajaan Indonesia sebelum ini menetapkan tempoh operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Donggala, Sigi, Parigi Moutong dan Pasangkayu selama 14 hari, iaitu mulai 28 September hingga 11 Oktober ini.

Sementara itu, tempo.co yang memetik agensi berita ANTARA, melaporkan jumlah mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi tengah meningkat kepada 1,944 orang.

Jurucakap ketua pemerintah tentera wilayah Sulawesi Tengah, Kolonel Muh Thohir, berkata pihak tentera berjaya menemui 20 lagi mayat mangsa di bawah runtuhan bangunan di Petobo, semalam.

Beliau berkata, angka kematian diramal terus meningkat, memandangkan 683 penduduk dilaporkan masih hilang, sementara 2,549 lagi mangsa cedera.

“Ketika ini, 74,444 penduduk sudah dipindahkan, manakala jumlah rumah yang rosak atau musnah dilaporkan mencecah 65,733 unit,” katanya.

Sementara itu, AFP yang memetik pihak berkuasa melaporkan 5,000 penduduk dipercayai tertimbus di kawasan Balaroa dan Petobo.

Pertubuhan Palang Merah pula berkata, setakat ini, mereka sudah merawat lebih 1,800 penduduk, selain menyediakan bantuan perubatan kepada mangsa di beberapa zon bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 12:25 PM