KEADAAN hotel 10 tingkat yang runtuh ketika gempa di Palu, Jumaat lalu. FOTO AFP
KEADAAN hotel 10 tingkat yang runtuh ketika gempa di Palu, Jumaat lalu. FOTO AFP
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: “Bumi bergulung. Tanah bergerak seperti air dan keadaan sangat huru-hara,” kata Afrinal Dilham, 39, penduduk daerah Sigi menceritakan detik cemas kejadian gempa bumi yang berlaku di kota Palu dan Donggala di Sulawesi, Indonesia.

Menurut Afrinal, ketika kejadian dia di hadapan rumahnya dan mendengar bunyi dentuman kuat.

“Ia seperti letupan bom besar dan bunyinya sangat kuat. Pada masa sama, bumi bergoncang menyebabkan kami sukar berdiri. Saya lihat penduduk kampung bertempiaran lari keluar dari rumah masing-masing ke kawasan lapang.

“Jeritan dan tangisan memenuhi ruang. Saya terkejut sebelum berlari ke kawasan lapang bersama keluarga dan penduduk sekampung. Kira-kira 150 meter dari lokasi kami berkumpul, tanah kelihatan bergerak seperti air malah rumah juga dibawanya (bergerak).

“Kemudian, ia (tanah) bergulung, bahagian bawah berada di atas dan sebaliknya. Keadaan itu berlaku lebih lima minit. Kami hanya mampu berdoa meminta perlindungan daripada Allah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Afrinal berkata, gempa bumi menyebabkan bekalan elektrik terputus dan jalan raya musnah teruk.

“Keadaan sangat huru-hara di sini. Bantuan makanan dan ubat-ubatan belum tiba kerana jalan raya terputus. Mungkin bantuan melalui udara dapat dilakukan...kami masih menunggu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kawasan berkenaan terletak jauh dari laut dan terselamat daripada tsunami, jika tidak pasti banyak nyawa terkorban dan harta musnah.

Mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan dari runtuhan dan mereka yang cedera diterbangkan dengan helikopter serta pesawat Hercules milik tentera Indonesia ke Makassar untuk rawatan susulan.

KAPAL terdampar di sebelah rumah dibawa tsunami di Palu. FOTO NSTP
KAPAL terdampar di sebelah rumah dibawa tsunami di Palu. FOTO NSTP

Sementara itu, Sukarelawan Onsight Foundation, Agung Wijanarko yang diminta menggambarkan keadaan terkini bencana itu berkata, mayat mangsa korban bergelimpangan dan ada yang masih terperangkap dalam runtuhan.

“Jalan raya musnah dan 70 peratus bangunan runtuh, bekalan elektrik terputus. Mangsa gempa sangat memerlukan bantuan makanan dan ubat-ubatan. Semua rakyat di Palu trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, pihaknya menggerakkan dua pasukan untuk menghulurkan bantuan ke kawasan bencana.

“Kita bawa ubat-ubatan dan bekalan makanan sementara menanti bantuan kerajaan. Bantuan yang dibawa kini sudah menghampiri kawasan bencana namun disebabkan jalan terputus, bantuan belum dapat diagihkan,” katanya.

Dia yakin bantuan akan diagihkan tidak lama lagi.

“Jika saudara di Malaysia mahu hulurkan bantuan boleh melakukannya di akaun nombor 71188-86137 Bank Syariah Mandiri (Kod Bank 451) atas nama Onsight Foundation. Penyumbang dana boleh mendapatkan sebarang maklum balas dengan menghubungi talian +62085647566667,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, Agung berkata, berdasarkan maklumat diperoleh lebih 800 mangsa maut dalam insiden berkenaan.

“Jumlah mangsa pasti meningkat lebih ramai kerana mangsa yang parah juga tinggi jumlahnya. Kebanyakan korban adalah mangsa yang berada di kawasan pantai di Palu. Mohon saudara di Malaysia mendoakan kami supaya urusan dipermudahkan Allah,” katanya.

KEADAAN masjid ditenggelami air selepas kejadian gempa di Palu. FOTO NSTP
KEADAAN masjid ditenggelami air selepas kejadian gempa di Palu. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 10:42 AM