Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Majene: “Sekelip mata hidup kami berubah! rumah didiami kami 10 sekeluarga lenyap disedut bumi,” kata mangsa gempa, Elami Mohamad, 50.

Bencana gempa bumi dan tsunami berlaku Jumaat lalu memusnahkan kehidupan dia sekeluarga yang menetap di perkampungan Pelupi di Palu, Sulawesi Tengah.

Kejadian menyebabkan mereka terpaksa menjadikan sebuah lori sebagai penempatan sementara selepas gagal mencari tempat perlindungan selamat.

Menceritakan semula detik cemas dilalui, mangsa mendakwa rumah didiami sejak berpuluh tahun tiba-tiba bergoncang kuat akibat gempa sebelum mendap ke dalam tanah.

“Ketika itu kami sekeluarga baru ingin mengerjakan solat Maghrib sebelum gempa bumi kuat berlaku dengan kekuatan 7.4 magnitud.

“Saya bertempiaran lari, tiga cucu keluar dari dalam rumah tanpa sempat menyelamatkan barang berharga, saya hanya fikirkan nyawa mereka ketika itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Nurul Iman, di sini, 800 kilometer dari kawasan bencana itu.

Ketika ditemui wartawan, dia bersama semua ahli keluarganya sedang duduk berasak beramai-ramai umpama pelarian di belakang lori berwarna merah dalam keadaan tidak terurus.

Malah, mereka hanya membawa sedikit bekalan pakaian dan makanan bagi mengalas perut selepas kebuluran sejak tiga hari lalu.

ELAMI dan keluarga berteduh di pekarangan Masjid Nurul Iman.  FOTO Shahir Othman
ELAMI dan keluarga berteduh di pekarangan Masjid Nurul Iman. FOTO Shahir Othman

“Kami putus asa dan terpaksa berpindah keluar dari Palu. Kini kami menuju ke Makassar dan mencari perlindungan dan makanan di sana.

“Jika keadaan keselamatan dan kemudahan asas pulih, kami akan pulang ke Palu untuk membina hidup semula,” katanya sambil mendukung cucu, Rakikah Budi, dua tahun.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Budiyanto Tandra, 40, berkata, ramai penduduk Palu, Sigi dan Donggala mengambil keputusan melarikan diri ke kota berhampiran termasuk di Mamuju selain Makassar berikutan bimbang dengan khabar angin gempa susulan lebih kuat akan berlaku.

Dia yang turut melarikan diri bersama ahli keluarga mendakwa mengambil masa tiga hari membawa lori penuh muatan mangsa menuju ke Makassar.

“Di sana ada ahli keluarga lain yang akan membantu kami sekeluarga. Alhamdulillah, anak dan isteri saya terselamat walaupun ramai ahli keluarga lain yang tinggal berhampiran terkorban,” katanya.

LORI dinaiki Elami sekeluarga untuk mencari perlindungan di Makassar. FOTO Shahir Othman
LORI dinaiki Elami sekeluarga untuk mencari perlindungan di Makassar. FOTO Shahir Othman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 10:05 AM