JET Russia hilang di Laut Mediterranean lewat semalam. FOTO/AFP
JET Russia hilang di Laut Mediterranean lewat semalam. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW: Sebuah jet pejuang tentera Russia membawa 14 anggota hilang dari radar di Laut Mediterranean lewat semalam ketika Syria diserang peluru berpandu Israel, kata Kementerian Pertahanan.

“Hubungan terputus dengan kru pesawat Russia Il-20 di Laut Mediterranean sejauh 35 kilometer dari pantai Syria ketika ia kembali ke pangkalan udara Hmeimim,” kata Kementerian Pertahanan Russia awal hari ini.

Nasib kakitangan tentera terbabit ‘tidak diketahui,’ kata kementerian dalam satu kenyataan diterbitkan agensi berita Russia. Satu pencarian pesawat sedang dilakukan.

Sumber mencari dan menyelamat memaklumkan agensi berita Interfax, pesawat perang Russia mungkin tenggelam dalam Laut Mediterranean akibat satu ‘insiden kritikal tidak dijangka’ di udara.

Kementerian berkata, jet pejuang itu hilang dari radar sekitar jam 11 malam semalam ketika serangan oleh empat jet F-16 milik Israel di atas infrastruktur Syria di wilayah Latakia, kubu kuat Presiden Bashar al-Assad.

Agensi berita RIA Novosti pula memetik sumber keselamatan berkata, sistem anti-pertahanan Syria bertembung dengan serangan roket. Bagaimanapun tiada ulasan segera daripada kerajaan Syria.

Seorang jurucakap tentera Israel apabila ditanya mengenai laporan serangan negara itu dan pesawat Russia berkata: “Kami tidak mengulas laporan asing.”

Seorang jurucakap Pentagon berkata, Amerika Syarikat (AS) tidak terbabit dan enggan mengulas lanjut.

Kementerian Pertahanan Russia juga berkata, roket dilancarkan dari kapal frigat tentera laut Perancis, The Auvergne, yang berada di kawasan itu ketika itu.

“Tentera Perancis menafikan sebarang pembabitan dalam serangan ini,” kata jurucakap tentera Perancis.

Jet terbabit hilang dari radar beberapa jam selepas Russia berkata, tiada serangan ke atas Idlib ketika Presiden Russia dan Turki bersetuju mewujudkan satu ‘zon bebas tentera’ di wilayah ditawan pemberontak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 5:06 PM