PENDUDUK dan petugas sukarelawan berusaha mencari mangsa yang mungkin tertimbus dalam runtuhan bangunan selepas serangan udara di bandar Ariha di wilayah Idlib, semalam. - Reuters
PENDUDUK dan petugas sukarelawan berusaha mencari mangsa yang mungkin tertimbus dalam runtuhan bangunan selepas serangan udara di bandar Ariha di wilayah Idlib, semalam. - Reuters
Agensi

Beirut: Sekurang-kurangnya 11 orang awam, termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah bandar yang dikuasai kumpulan penentang di wilayah Idlib, barat laut Syria.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada serangan di bandar Ariha itu dilakukan oleh tentera kerajaan atau pesawat tentera Russia.

Ariha dikuasai oleh Tentera Penakluk, kumpulan penentang yang bergabung dengan pakatan penentang rejim Syria, termasuk Barisan Al-Nusra.

Rakaman video yang dimuat naik oleh aktivis menunjukkan kesan serangan itu dengan penduduk dan petugas pertahanan awam menyelongkar sisa runtuhan bangunan untuk mencari mangsa yang terselamat.

Idlib sering menjadi sasaran serangan udara tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad dan tentera Russia.

Dalam kejadian lain, SOHR berkata, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh di bandar Rastan di Homs, wilayah tengah Syria.

Lima daripada mereka mati dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah pasar.

Sementara itu, jet pengebom dipercayai milik Russia menyerang sebuah kem pelarian di timur laut Jordan yang bersempadan dengan Syria, menyebabkan 12 orang awam terbunuh.

Kumpulan penentang di kawasan berkenaan berkata, beberapa jet yang terbang rendah melancarkan serangan di kem sementara itu, tempat ratusan pelarian Syria, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkandas di sebelah sempadan Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 10:20 AM