TENTERA Turki sedia tingkatkan tahap keselamatan negara. FOTO/AFP
TENTERA Turki sedia tingkatkan tahap keselamatan negara. FOTO/AFP
Reuters

ANKARA: Mahkamah Turki, hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada 104 orang kerana terbabit dalam rampasan kuasa tentera yang gagal pada 2016, lapor akhbar Hurriyet.

Ia adalah antara hukuman paling berat diberikan sejak kejadian itu.

Mahkamah di bandar Aegean di Izmir menjatuhkan hukuman itu ke atas 104 daripada 280 defendan, menurut Hurriyet, hukuman paling berat menurut undang-undang Turki kerana ia meningkatkan tempoh minimum penjara yang diperlukan untuk parol.

Seramai 21 lagi dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara kerana menghina presiden, manakala 31 lagi dikenakan hukuman antara 10 tahun dan enam bulan kerana menganggotai pertubuhan pengganas.

Lebih 240, kebanyakannya penduduk awam tidak bersenjata, maut pada malam 15 Julai 2016, apabila sekumpulan anggota tentera mengemudikan kereta kebal dan pesawat tempur dalam usaha menyerang Parlimen dan menyingkirkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Kerajaan menyalahkan rangkaian ulama yang berada di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen, kerana mendalangi rampasan kuasa itu.

Gulen, yang memilih tinggal dalam buangan di Pennsylvania sejak 1999, menafikan pembabitan dan mengutuk kejadian itu.

Sejak cubaan rampasan kuasa itu, pihak berkuasa menahan 160,000 orang dan memecat bilangan hampir sama kakitangan awam sebagai sebahagian tindakan, kata pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 6:28 AM