FILEM  ‘Awakening’ memaparkan kegagalan tindakan tentera merampas kuasa pada 2016. FOTO/REUTERS
FILEM ‘Awakening’ memaparkan kegagalan tindakan tentera merampas kuasa pada 2016. FOTO/REUTERS
Reuters

ANKARA: Seorang pengarah filem Turki didapati bersalah hari ini atas dakwaan menjadi anggota sebuah gerakan pengganas dengan mengeluarkan filem memaparkan adegan Presiden Tayyip Erdogan diacu pistol ke kepalanya dikelilingi mayat anggota keluarganya, lapor agensi berita rasmi.

Ali Avci ditahan tahun lalu selepas siaran ‘trailer’ filem arahannya berjudul ‘Awakening’ yang berdasarkan kegagalan tindakan tentera merampas kuasa pada 2016.

Cubaan rampasan kuasa itu yang dikatakan dirancang dari luar negara itu menyaksikan lebih 250 orang terbunuh.

‘Trailer’ itu mencetuskan kemarahan awam selepas menunjukkan beberapa aksi memaparkan keluarga Erdogan termasuk menantu lelakinya; Menteri Kewangan, Berat Albayrak dan seorang pegawai tentera mengacu pistol ke kepala Presiden ketika dia sedang menunaikan solat.

Sebuah mahkamah Istanbul menghukum penjara enam tahun tiga bulan ke atas Avci kerana menjadi anggota rangkaian pendakwah Islam berpejabat di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen.

Rangkaian itu diputuskan sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Turki. Gulen, bagaimanapun, menafikan tuduhan Turki bahawa dia adalah ketua perancang cubaan rampasan kuasa itu.

Mahkamah berkata, Avci menjalankan pengurusan persepsi awam selari dengan matlamat utama pergerakan itu melalui filem arahannya itu.

Avci menolak dakwaan itu dan menuduh Erdogan sendiri berkata bahawa dia adalah sasaran cubaan rampasan kuasa itu termasuk serangan udara ke atas Istana Presiden di Ankara meskipun Erdogan tidak berada di situ ketika serangan.

“Jika saya cuba membuat propaganda pengganas, saya tentu akan tunjuk Erdogan merancang untul kari, bukan melakukan solat,” kata Avci kepada mahkamah.

Lebih 50,000 orang dipenjara sedang menanti dibicarakan dan 150,000 penjawat awam termasuk guru, hakim dan askar digantung tugas atau dipecat selepas cubaan rampasan kuasa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 8:57 PM