ORANG ramai mengibarkan bendera Turki berhampiran Jambatan Bosphorus di Instanbul pada 15 Julai lalu. FOTO AFP
ORANG ramai mengibarkan bendera Turki berhampiran Jambatan Bosphorus di Instanbul pada 15 Julai lalu. FOTO AFP
Agensi

PERINTAH darurat yang dikuatkuasakan selepas kegagalan cubaan rampasan kuasa di Turki pada 2016 berakhir semalam selepas pihak berkuasa memutuskan untuk tidak memohon supaya ia dilanjutkan buat kali kelapan, lapor agensi berita Anadolu.

Presiden Recep Tayyib Erdogan mengisytiharkan perintah darurat pada 20 Julai, 2016, lima hari selepas jet pejuang mengebom Ankara dan pertumpahan darah berlaku di Istanbul hingga menggagalkan cubaan rampasan kuasa itu tetapi mengorbankan 249 nyawa.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Erdogan mencetuskan kemarahan pembangkang apabila mengemukakan satu rang undang-undang baharu kepada Parlimen bagi memohon supaya perkara tertentu dalam perintah berkurung itu dikekalkan.

Rang undang-undang bertujuan memerangi keganasan, kata media prokerajaan dan akan dibincangkan di peringkat suruhanjaya sebelum di bawah ke sesi pleno Isnin depan.

Erdogan menegaskan, adalah perlu untuk mewujudkan pentadbiran lebih berkesan dan Menteri Kehakiman, Abdulhamit Gul menekankan: “Berakhirnya perintah darurat tidak bermakna usaha kita memerangi keganasan sudah berakhir.”

Perintah darurat selama dua tahun menyaksikan penahanan 80,000 orang manakala dua kali ganda daripada angka itu dipecat daripada institusi awam.

Operasi keselamatan terbesar dalam sejarah moden Turki itu mensasarkan penyokong Fethullah Gulen, seorang pendakwah berpejabat di Amerika Syarikat yang dituduh dalang cubaan rampasan kuasa itu, serta aktivis Kurdis dan golongan berhaluan kiri.

Bekas pemimpin pembangkang pro-Kurdis dari Parti Demokratik Rakyat (HDP) iaitu Figen Yuksekdag dan Selahattin Demirtas masih berada di penjara sejak ditahan pada November 2016 atas tuduhan menjalin hubungan dengan militan Kurdis.

Kerajaan Turki menuduh Pertubuhan Pengganas Fettulahist (FETO) mempunyai pengaruh besar terhadap banyak institusi awam dan tentera kerana ramai penyokongnya bekerja dalam sektor berkenaan.

Dalam kempen pilihan raya Presiden bulan lalu yang dimenanginya, Erdogan berikrar menamatkan perintah darurat tetapi pembangkang curiga dengan rang undang-undang baharu yang dikemukakan kerajaan.

Pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan (CHP) pula berpendapat bahawa rang undang-undang baharu yang dikemukakan adalah sama seperti perintah darurat.

Di bawah undang-undang yang dicadangkan itu, pihak berkuasa diberi masa tiga tahun lagi untuk berkuasa memecat penjawat awam yang didapati ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Bantahan dan perhimpunan diharamkan di tempat awam selepas matahari terbenam tetapi masih boleh dibenarkan selagi tidak menganggu ketenteraman awam.

Pihak berkuasa tempatan juga boleh melarang individu masuk atau keluar daripada sesebuah kawasan selama 15 hari atas sebab keselamatan dan suspek boleh ditahan tanpa didakwa selama 48 jam atau sehingga empat hari jika didapati melakukan beberapa kesalahan.

FAKTA NOMBOR

Draf undang-undang baharu

3 tahun kuasa memecat

4 hari tempoh tahanan maksimum

15 hari larangan keluar, masuk keselamatan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 9:34 PM