ASKAR Turki yang didakwa mengambil bahagian dalam cubaan rampasan kuasa tiba dengan bas di sebuah mahkamah di Istanbul, semalam.
ASKAR Turki yang didakwa mengambil bahagian dalam cubaan rampasan kuasa tiba dengan bas di sebuah mahkamah di Istanbul, semalam.
Agensi

Istanbul: Majlis Pelajaran Tinggi Turki semalam mengharamkan ahli akademik daripada keluar negara dan menggesa mereka yang berada di seberang laut pulang segera, lapor agensi berita Anadolu.

Turki memperluaskan kempen pembersihan besar-besaran selepas cubaan rampasan kuasa, dari pasukan tentera dan polis ke sektor pendidikan dalam usaha menyingkirkan penyokong Fethullah Gulen, tokoh agama negara itu yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.

Kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan menuduh Fethullah merancang cubaan rampasan kuasa itu.

Majlis berkenaan juga mengarah sektor universiti mengkaji segera ‘keadaan semua pegawai akademik dan pentadbiran yang ada hubungan dengan FETO’ - atau ‘Pertubuhan Pengganas Fethullah,’ gelaran yang diberikan kepada penyokong Fethullah.

Mereka dikehendaki mengemukakan laporan itu sebelum 5 Ogos.

Sehingga kelmarin, kerajaan menggantung khidmat 15,200 kakitangan pelajaran dan menuntut peletakan jawatan hampir 1,600 dekan universiti swasta dan awam kerana dipercayai ada hubungan dengan Fethullah.

Fethullah menetap di Pennsylvania, tetapi masih mengekalkan kepentingan meluas di Turki, dari media, kewangan hingga ke sekolah serta mempunyai pengaruh dalam beberapa sektor, termasuk kehakiman dan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 7:46 AM