ERDOGAN pertahan keputusan menerima pesawat. FOTO/REUTERS
ERDOGAN pertahan keputusan menerima pesawat. FOTO/REUTERS
Reuters

ISTANBUL: Presiden Turki, Tayyip Erdogan mempertahankan keputusannya untuk menerima pemberian Emir Qatar kepadanya iaitu sebuah pesawat mewah ketika negaranya menghadapi permasalahan ekonomi.

Erdogan menekankan bahawa ia adalah satu hadiah dan bukannya dibeli selain didermakan kepada kerajaan Turki, bukan pemberian kepada beliau secara peribadi.

Minggu lalu, televisyen rasmi TRT Haber melaporkan, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, memberi pesawat Boeing 747 kepada Erdogan yang mencetuskan kritikan pembangkang.

Seorang ahli perundangan pembangkang utama dari Parti Rakyat Republikan (CHP), Sezgin Tanrikulu, menyuarakan kebimbangan bahawa pesawat itu dibeli bukannya didermakan ketika Turki menghadapi krisis ekonomi, lapor akhbar Hurriyet.

Pesawat itu yang boleh mengisi 400 orang, telah dipasang semula kerusinya kepada 76, lapor akhbar itu lagi.

Erdogan berkata, Emir Qatar mendermakan pesawat itu yang bernilai AS$500 juta (RM2 bilion) kepada kerajaan Turki selepas Ankara menyuarakan minat membelinya.

“Dia berkata, ‘saya tidak akan ambil wang dari Turki. Saya akan beri ini sebagai hadiah kepada Turki’,” kata Erdogan kepada wartawan ketika dalam perjalanan pulang dari Azerbaijan.

Turki ketika ini menyaksikan mata wangnya turun, menghadapi inflasi dua kali ganda dan menjangka kemelesetan ekonomi akan berlaku.

Tetapi, Qatar sebagai sekutu Arab utama meluluskan pakej bantuan projek ekonomi bernilai AS$15 bilion yang membantu melegakan sedikit nilai lira.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 7:46 PM