FOTO hiasan
FOTO hiasan
Reuters

BEBERAPA syarikat penerbangan utama melencongkan penerbangan, hari ini selepas agensi trafik udara Eropah, Eurocontrol memberi amaran pesawat yang terbang di timur Mediterranean berhati-hati berikutan terdapat kemungkinan serangan udara ke Syria.

Eurocontrol dalam makluman pada tengah hari semalam berkata, peluru berpandu udara ke darat dan pelayaran tidak mustahil digunakan dalam tempoh 72 jam dan ada kemungkinan berlaku gangguan terhadap peralatan radio pengemudian.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan sekutu Barat sedang membincangkan tindakan ketenteraan bagi menghukum pemimpin Syria Bashar al-Assad atas serangan disyaki gas beracun di bandar dikawal pemberontak di Douma pada Sabtu lalu.

Jurucakap Air France berkata, syarikat penerbangan itu turut menukar beberapa laluan susulan amaran termasuk ke Beirut dan Tel Aviv, sementara penerbangan tambang murah easyJet berkata, akan melencongkan laluan dari Tel Aviv.

Pengawal selia penerbangan meningkatkan pemantauan di zon konflik sejak pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara di Ukraine pada 2014, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.

Amaran Eurocontrol di laman webnya, bagaimanapun tidak menyatakan dari mana potensi ancaman peluru berpandu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:51 PM