Tiga pesawat F-35 milik Israel yang membuat pertunjukan udara di Tel Aviv sempena Hari Kemerdekaan negara itu yang ke-69, hari ini. - Foto AFP
Tiga pesawat F-35 milik Israel yang membuat pertunjukan udara di Tel Aviv sempena Hari Kemerdekaan negara itu yang ke-69, hari ini. - Foto AFP
Agensi

Tel Aviv: Ketika penduduk Palestin hari ini, berkumpul menunjuk perasaan membantah kepungan Zionis di Gaza sejak sedekad lalu, Israel buat pertama kali mempamerkan jet pejuang termodennya, F-35 yang kalis radar baru diterima daripada Amerika Syarikat sempena sambutan Hari Kemerdekaannya yang ke-69.

Tiga daripada lima jet itu membuat persembahan udara di tepi pantai Mediterranean, dekat Tel Aviv.

Sejak Disember lalu, Israel sudah menerima lima F-35 yang dikeluarkan Lockheed Martin bagi menjadikannya kuasa utama ketenteraan di Asia Barat.

Ia bercadang membeli 50 jet pejuang jenis itu dan menjadi negara asing pertama menerima pesawat berkenaan.

Israel menerima bantuan pertahanan tahunan berjumlah lebih AS$3 bilion daripada Amerika.

Ia membeli 33 pesawat F-35 itu dengan harga kira-kira AS$110 juta setiap satu.

Antara teknologi canggih pesawat itu ialah keupayaan tidak dikesan radar membolehkan ia mengelak sistem serangan peluru berpandu.

Ia boleh membawa pelbagai jenis senjata dengan kelajuan maksimum 1.6 Mach (1,900 kilometer sejam). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 9:35 PM