SEKUMPULAN pelajar berhimpun di hadapan kedutaan Syria di Jakarta, Indonesia semalam bagi membantah serangan tentera rejim itu ke atas penduduk Ghouta Timur. - EPA
SEKUMPULAN pelajar berhimpun di hadapan kedutaan Syria di Jakarta, Indonesia semalam bagi membantah serangan tentera rejim itu ke atas penduduk Ghouta Timur. - EPA
Agensi

Berlin: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Canselor Jerman, Angela Merkel dalam satu perbualan telefon bersetuju bahawa rejim Syria perlu dipertanggungjawabkan atas keganasan di Ghouta Timur, kata Berlin semalam.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk mendesak Russia menamatkan pembabitan dalam operasi mengebom wilayah berkenaan dan mendesak Presiden Syria, Bashar al-Assad menghentikan serangan terhadap lokasi awam.

“Rejim Bashar mesti dipertanggungjawabkan atas serangan di Ghouta Timur dan krisis kemanusiaan di wilayah yang dikepung itu.

“Ini termasuk penggunaan senjata kimia oleh tentera rejim, serangan terhadap orang awam dan menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mendesak Syria dan sekutunya iaitu Russia dan Iran mematuhi resolusi Majlis Keselamatan berhubung gencatan senjata di wilayah itu,” kata Berlin dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu, seramai 84 pesakit termasuk kanak-kanak adalah keutamaan pemindahan perubatan di Ghouta Timur.

Mereka adalah antara 1,000 penduduk yang sakit dan cedera di wilayah itu yang perlu mendapatkan rawatan segera.

Sehingga kini bantuan kemanusiaan masih gagal memasuki Ghouta Timur dan tiada penduduk dilapor meninggalkan wilayah berkenaan akibat pertempuran sengit yang masih belum berhenti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 2:32 AM