KANAK-KANAK yang cedera diberi rawatan di hospital sementara di Kafr Batna, semalam.  FOTO AFP
KANAK-KANAK yang cedera diberi rawatan di hospital sementara di Kafr Batna, semalam. FOTO AFP
Agensi

Moscow/Berlin: Ketika dunia mendesak Syria menghentikan ‘pembunuhan beramai-ramai’ penduduk awam di Ghouta Timur, Russia yang menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad menegaskan ‘pengganas’ yang bertanggungjawab menyebabkan kemusnahan itu.

Reuters melaporkan, Dmitry Peskov iaitu jurucakap Kremlin berkata, Russia tidak bertanggungjawab terhadap situasi di Ghouta Timur dekat Damsyik yang masih dikuasai penentang.

“Mereka yang menyokong pengganas bertanggungjawab. Bukan Russia atau Syria, juga bukan Iran kerana kami memerangi pengganas di Syria,” katanya.

Sejak Isnin lalu, Ghouta Timur berterusan dibedil dengan serangan udara, roket dan artileri menyebabkan ramai orang awam terbunuh serta kemusnahan besar, termasuk melumpuhkan operasi hospital yang turut terkena bedilan.

Sehingga kelmarin, 335 penduduk awam termasuk lebih 58 kanak-kanak disahkan terbunuh dan semalam, 13 lagi menjadi mangsa.

AFP melaporkan, di Berlin, Canselor Jerman, Angela Merkel yang menggesa ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Syria dihentikan segera menyatakan negaranya akan membangkitkan isu itu ketika pertemuan dengan Russia.

Angela menyelar rejim Syria kerana serangan itu menyasar ‘orang sendiri’, bukan pengganas yang membunuh kanak-kanak dan memusnahkan hospital.

Menurutnya, Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabreil akan membangkitkan isu itu dengan rakan sejawatnya dari Russia, Sergei Lavrov.

Ketika Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah dua hari lalu, Angela memberitahu Parlimen Jerman, situasi mengerikan di Syria memerlukan penubuhan kumpulan lebih besar dalam usaha menghentikan krisis di negara terbabit.

“Ia adalah apa yang perlu dilakukan kita sebagai warga Eropah,” katanya.

Angela turut menggesa Iran dan Russia, dua sekutu rejim Bashar untuk memainkan peranan mereka dalam usaha menghentikan pembunuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 5:40 AM