PEJUANG pemberontak Syria dari “Barisan Pembebasan Kebangsaan”  yang dibentuk baru-baru ini menyelami latihan bagi menghadapi serangan tentera Syria. - AFP
PEJUANG pemberontak Syria dari “Barisan Pembebasan Kebangsaan” yang dibentuk baru-baru ini menyelami latihan bagi menghadapi serangan tentera Syria. - AFP
Agensi

Ankara: Kebimbangan krisis kemanusiaan selain korban orang awam yang besar semakin tinggi berikutan kemungkinan perang tercetus di Idlib selepas tentera rejim Presiden Bashar al-Assad yang disokong Russia mula mengepung wilayah itu.

Idlib sebelum ini dianggap kawasan bebas perang melalui perjanjian antara Russia, Iran dan Turki yang dipersetujui di Kazakhstan.

Ia bukan saja menjadi wilayah penempatan semua penduduk dari kawasan lain sebelum ini, termasuk Aleppo dan Ghouta tetapi juga membabitkan pejuang pemberontak yang bersetuju meletak senjata ketika operasi ketenteraan Syria di wilayah lain.

Namun, selepas semua wilayah terbabit berjaya ditawan, Assda menegaskan rejimnya akan mengambil balik ‘setiap inci’ wilayah Syria dengan bantuan Russia dan Iran sebagai sekutunya.

Menurut Al-Jazeera, jika perang tercetus, tiga juta penduduk wilayah itu tidak lagi mempunyai pilihan untuk melarikan diri, seperti kata seorang daripada mereka, Qays: “Tiada lagi tempat untuk kami pergi. Jika berlaku perang, kami bermandi darah.”

Qays ialah sukarelawan kumpulan pertahanan awam White Helmet berusia 26 tahun yang mempunyai dua anak.

Sejak minggu lalu, tentera rejim Assad mengepung wilayah itu, kelihatan bersedia untuk melancarkan serangan ketika Amerika Syrikat dan sekutu Eropahnya memberi amaran mengambil tindakan ketenteraan jika Syria melancarkan serangan senjata kimia.

Ketua agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi, memberi amaran perang di Idlib akan mencetuskan krisis kemanusiaan serta pelarian baharu.

“Tiada apa boleh kami lakukan, hanya menunggu,” kata Qays yang baru sampai dari Bukit Golan yang diduduki Israel selepas cuba ‘berhijrah’ ke sana bersama sejumlah rakyat Syria selama dua minggu sebelum dihalau rejim Zionis.

Dia yang isterinya dijangka melahirkan anak kembar bulan depan, menyatakan kebimbangan yang amat sangat terhadap serangan senjata kimia.

“Kami menjangka kerajaan akan menyasar Idlib dengan senjata kimia, seperti yang berlaku di Khan Sheikhoun,” katanya.

Pada April 2017, serangan senjata kimia di Khan Sheikhoun, bandar di Idlib, membunuh sekurang-kurangnya 83 orang, satu pertiga adalah kanak-kanak, manakala 300 lagi cedera.

Menurut aktivis penentang di Idlib, Mohammed, 24, serangan udara besar-besaran sudah bermula di beberapa kawasan di Idlib, memaksa penduduknya melarikan diri ke sempadan Turki.

Namun, Turki yang sudah menerima jutaan pelarian Syria, menutup sempadannya, hanya membenarkan bantuan kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 9:42 AM