KANAK-KANAK di belakang kenderaan keluarga mereka yang meninggalkan Hama, Idlib, kelmarin, melarikan diri berikutan bedilan bertalu-talu tentera kerajaan Syria. - AFP
KANAK-KANAK di belakang kenderaan keluarga mereka yang meninggalkan Hama, Idlib, kelmarin, melarikan diri berikutan bedilan bertalu-talu tentera kerajaan Syria. - AFP
AFP

Khan Shaykhun, Syria: Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran operasi ketenteraan besar-besaran terhadap pemberontak di Idlib, Syria, akan menyebabkan bencana kemanusiaan terbesar abad ini.

Ketua Penyelaras Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan PBB, Mark Lowcock, membuat kenyataan itu ketika tentera Syria yang disokong Russia dan Iran mengepung Idlib sebelum dijangka melancarkan serangan besar-besaran.

Sejak 2015, Idlib menjadi penempatan kumpulan pemberontak yang dipindahkan dari wilayah lain, termasuk Aleppo dan Ghouta selepas mereka bersetuju meletak senjata.

Idlib yang bersempadan dengan Turki kini mempunyai tiga juta penduduk, termasuk kumpulan bersenjata terbabit.

Penduduk yang bimbang peperangan tercetus, mula meninggalkan wilayah itu dan bulan ini saja PBB menganggarkan lebih 30,000 orang sudah meninggalkan wilayah itu.

Sejak kebelakangan ini, tentera rejim Presiden Bashar al-Assad meningkatkan bedilan artileri dan serangan udara di wilayah berkenaan.

Menurut agensi PBB itu, pengeboman tentera kerajaan itu menyebabkan hampir 31,000 penduduk kehilangan rumah, terutama di Hama antara 1 hingga 9 September lalu.

Ramai penduduk melarikan diri ke sempadan Turki yang sudah menutup sempadannya dengan wilayah itu. Mereka berlindung di kem pelarian, menumpang rumah rakyat tempatan atau menyewa pangsapuri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 12:59 PM