CHRIS Hixon, guru (kiri) dan Jaime Guttenburg, pelajar.
CHRIS Hixon, guru (kiri) dan Jaime Guttenburg, pelajar.
Agensi

Florida: Dua mangsa daripada 17 yang maut akibat amukan bekas pelajar Sekolah Tinggi Stoneman Douglas, Parkland, yang sudah dikenal pasti ialah guru olahraga berusia 46 tahun dan pelajar perempuan.

Menurut laporan media Amerika, guru itu dikenali sebagai Chris Hixon dan pelajar Jaime Guttenburg.

Sheriff Daerah Broward, Scott Israel, berkata 12 mangsa sudah dikenal pasti, manakala bakinya memerlukan masa untuk pengesahan kerana mereka tidak membawa dokumen pengenalan diri.

Daily Mail yang memetik laporan media Local 10 News, ibu bapa Jaime mengesahkan anak mereka terbunuh dalam serangan itu, manakala adik Jaime, Jesse, terselamat.

Menurut polis, 12 mangsa yang maut ditemui dalam bangunan sekolah, dua lagi di luar sekolah dan dua lagi di jalan berhampiran. Dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital.

Seorang pelajar dikenali sebagai Alex yang ditemuramah media Amerika berkata: “Kami terdengar tembakan dan kami berlari ke kelas di tingkat atas.

“Ketika guru kami menutup pintu kelas, dia terkena tembakan dan mati di situ.”

Menurutnya, melalui pintu kelas yang terbuka, mereka boleh melihat penyerang berjalan melepasi pintu namun tidak masuk ke dalam kelas.

Bekas pelajar sekolah itu, Nikolas Cruz, 19, yang dibuang tahun lalu.

Media Amerika menyiarkan rakaman video yang dimuat naik pelajar ke media sosial menunjukkan mereka berlindung dalam kelas, termasuk di bawah meja kerana ketakutan mendengar bunyi tembakan.

Menurut polis, Nikolas memulakan tembakannya sebelum dia memasuki bangunan sekolah dan anggota polis yang tiba mendapati ratusan pelajar bertempiaran berlari keluar dari kawasan sekolah.

Polis mengepung sekolah, namun gagal menemui Nikolas selepas tembakan berhenti lalu melihat kembali rakaman CCTV dan mendapati penyerang itu keluar dengan bersama pelajar sekolah yang ketakutan.

Dia ditahan kira-kira sejam setengah selepas tembakan bermula di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 9:53 AM