Petikan rakaman CCTV menunjukkan pelajar menembak rakan sekelasnya dan gambar kanan, mengacu pistol ke kepalanya sebelum menembak dirinya. - Foto Daily Mail
Petikan rakaman CCTV menunjukkan pelajar menembak rakan sekelasnya dan gambar kanan, mengacu pistol ke kepalanya sebelum menembak dirinya. - Foto Daily Mail
Agensi

Monterrey, Mexico: Seorang pelajar lelaki 15 tahun menembak seorang guru dan dua pelajar lain di kepala sebelum menembak dirinya manakala seorang lagi pelajar cedera dalam kejadian di sebuah sekolah di sini, hari ini.

Rakaman video kejadian mengerikan di American School of the Northeast itu, tersebar di media sosial.

Gabenor negeri Nuevo Leon, Jaime Rodriguez, berkata penembak terbabit mati di hospital manakala tiga mangsa yang ditembak di kepala itu kini dalam keadaan kritikal.

Menurut ABC News, rakaman video dipercayai dari CCTV dalam kelas menunjukkan seorang guru wanita menyerahkan bahan pembelajaran kepada pelajar apabila penyerang menembak dalam keadaan dia sedang duduk, mengenai budak lelaki yang duduk di depannya.

Dia kemudian menembak guru sebelum bangun dan berjalan mundar-mandir, menembak seorang lagi pelajar sebelum menembak dirinya.

Namun, tembakan pertama itu tersasar dan pistolnya kehabisan peluru. Dia mendapatkan beg sandang, mengisi peluru dengan pelajar lain menyorok di bawah meja dan penyerang itu kelihatan berkata sesuatu kepada rakan sekelasnya yang kemudian berlari ke pintu.

Pelajar itu kemudian menembak kepalanya dan rebah ke lantai.

Menurut polis, tiga yang cedera parah dan penembak mempunyai kecederaan tembakan di kepala.

Jurucakap polis, Aldo Fasci, berkata mangsa yang ditembak ialah guru berusia 24 tahun, pelajar perempuan 14 tahun dan pelajar lelaki 14 tahun manakala seorang lagi pelajar lelaki 15 tahun hanya cedera di tangan.

Menurutnya, pelajar yang melepaskan tembakan itu sedang menjalani rawatan kerana kemurungan namun motif serangan sedang disiasat.

Beliau berkata, penyerang itu membawa pistol .22 dari rumah namun tidak pasti bagaimana diseludup masuk ke sekolah kerana Mexico mewajibkan pemeriksaan beg di pintu masuk sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 5:21 PM