GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Jakarta: Bengang ditegur gurunya kerana ponteng dan tidak buat kerja sekolah, seorang pelajar Indonesia menyimpan dendam hingga nekad mencederakan guru berkenaan dengan sabit.

Dia juga dikatakan sempat memberi salam ketika masuk ke kelas, tempat gurunya mengajar, sebelum melibas sabit ke arah lelaki itu.

Kejadian pada 9.30 pagi, Isnin lalu dilakukan pelajar Madrasah Aliyah Yayasan Islam Suhada (Yasua), Kebonagung, Demak di kepulauan Jawa.

Ketua Yayasan Islam Yasua, Masrukin berkata, suspek datang dengan menunggang motosikal, sempat bertanya khabar guru sukan, Ali Fathkur Rohman sebelum mengambil sabit yang disimpan di belakang badan.

"Mangsa sedang duduk di tempatnya, sambil mengawasi pelajar menduduki peperiksaan ketika suspek tiba-tiba datang dan melibas guru itu, sebelum melarikan diri.

"Dia meninggalkan senjata digunakan di situ, manakala Ali Fathkur cedera di belakang leher dan lengan kiri dengan luka sedalam kira-kira 10 sentimeter (CM)," katanya kepada Tribunjateng.

Masrukin berkata, suspek dan mangsa menetap di kampung sama.

"Suspek dianggap pelajar nakal dan kerap ponteng kelas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kebonagung, Inspektor Suwondo berkata, motif kejadian kerana dendam suspek terhadap mangsa.

Menurutnya, suspek didakwa selalu tidak ke sekolah apatah lagi membuat kerja sekolah yang diberikan.

"Mungkin suspek tidak dapat menerima teguran dan nasihat gurunya itu," katanya.

Polis masih menjalankan siasatan dan memburu mangsa yang melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 2:29 PM