SUMBUL Khan
SUMBUL Khan
Agensi

Islamabad: Seorang penyanyi dan juga pelakon di Pakistan ditembak mati selepas wanita itu enggan membuat persembahan di satu parti peribadi, kata polis semalam.

Polis berkata, tiga lelaki menceroboh rumah aktres itu, Sumbul Khan di bandar Mardan kelmarin dan mendesak mangsa membuat persembahan di satu majlis.

Bagaimanapun, Sumbul enggan mengikut mereka menyebabkan tiga lelaki itu berang lalu menembak mangsa beberapa kali hingga mati.

Akhbar Pakistan Express Tribune melaporkan, seorang suspek, Naeem Khattak yang juga bekas anggota polis berjaya ditangkap.

Polis kini memburu dua lagi suspek yang melarikan diri selepas kejadian.

Aktres berusia 25 tahun itu terkenal di Pakistan selepas menyertai beberapa program televisyen di negara itu.

Sebelum ini terdapat beberapa serangan serupa terhadap artis wanita di Pakistan.

Pada November 2016, seorang aktres yang juga penari, Kismat Baig terbunuh selepas ditembak penyerang tidak dikenali di Lahore.

Kismat ditembak 11 kali di kaki, perut dan tangan oleh penyerang bermotosikal ketika pulang selepas membuat satu persembahan pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 8:37 AM