Morgan ketika menghadiri prosiding itu. - Agensi
Morgan ketika menghadiri prosiding itu. - Agensi
AFP

Chicago: Mahkamah mengarahkan seorang remaja perempuan yang menikam rakannya untuk mendapat pengiktirafan watak seram fiksyen, ‘Slender Man,’ ditahan di hospital jiwa selama 40 tahun.

Ketika menjatuhkan hukuman maksimum itu, Hakim Michael Bohren berkata, keputusannya turut mengambil kira ‘perlindungan masyarakat.’

Gadis berkenaan, Morgan Geyser, berusia 12 tahun ketika dia dan rakan seusianya Anissa Weier menyerang seorang lagi gadis sebaya, Payton Leutner 19 kali di kawasan hutan berhampiran rumah mereka di pinggir Milwaukee pada 2014.

Mereka mengaku mengumpannya ke kawasan itu dan meninggalkannya untuk mati, tetapi Payton yang parah berjaya merangkak keluar dan mendapat bantuan orang ramai yang kebetulan lalu di situ.

Morgan dan Anissa yang kini berusia 15 tahun sebelum ini berkata, mereka melaksanakan serangan itu untuk mendapat pengiktirafan Slender Man, watak fiksyen seram dalam talian yang mereka percaya wujud.

Menurut mereka, watak itu memaksa mereka melakukan pembunuhan dengan mengancam nasib malang terhadap ahli keluarga masing-masing jika arahan berkenaan tidak dipatuhi. Anissa dipenjara 25 tahun di hotal sakit jiwa Disember lalu selepas mengaku salah.

Susulan itu, dalam keputusannya, Bohrne berkata: “Kita tidak boleh lupa ini adalah cubaan membunuh.”

Katanya, keterangan menunjukkan Morgan berjiwa rapuh dan mengalami delusi sejak tempoh lama sehingga mampu menjadi risiko bukan saja untuk orang ramai tetapi juga diri sendiri.

Morgan yang diberi masa membuat kenyataan sebelum dihukum, menangis ketika memohon maaf kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 12:56 AM