Rancho Mirage, AS: Morgan Pressel (gambar) mendahului selepas pusingan pertama kejohanan ANA Inspiration semalam, membayangkan dia tidak bersedia membenarkan Lydia Ko mengatasinya sebagai juara termuda kejohanan utama tanpa memberikan sebarang saingan.

Morgan merakam lima bawah par 67 untuk mendahului kejohanan utama pertama 2015, kejohanan yang diberi nama baru dan sebelum ini dikenali sebagai Kejohanan Kraft Nabisco.

Morgan berusia 18 tahun apabila dia menjulang trofi di lapangan Dinah Shore Tournament pada 2007 di Mission Hills Country Club.

Lydia, pemain sensasi New Zealand berusia 17 tahun yang muncul pemain termuda memegang status pemain nombor satu dunia Februari lalu, cuba menambah satu lagi pencapaian namun perlu bekerja keras selepas catatan 71 pada pusingan pertama.

Dengan catatan bawah par bagi 29 pusingan berturut-turut dalam Jelajah LPGA, Lydia menyamai rekod bintang Sweden, Annika Sorenstam pada 2004.

Namun dia hanya berkongsi tangga ke-10, empat pukulan di belakang Morgan.

Morgan mendahului satu pukulan di depan bekas pemain nombor satu dan pemenang sembilan kejuaraan LPGA, Ai Miyazato dari Jepun, yang masih memburu kejuaraan utama sulungnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:29 AM