BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang jurutera warganegara Britain didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah melemparkan kata-kata kesat kepada anggota polis minggu lalu.

Majistret Siti Radziah Kamarudin turut memerintahkan tertuduh, Morgan Aled, 50, dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda.

Morgan didakwa melemparkan perkataan kesat dan kurang sopan yang mengaibkan serta menghina kepada seorang anggota polis di depan pejabat tunda Balai Polis Trafik, Jalan Tun H S Lee, pada 12.30 tengah malam, 17 Julai lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil yang boleh didenda maksimum RM100.

Mengikut fakta kes, Morgan didakwa melemparkan kata-kata kesat dalam bahasa Inggeris kerana mempertikai tindakan anggota polis menahan kereta dipandu isterinya pada hari kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf atas perbuatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 5:43 PM