HELIKOPTER CAL Fire dilihat melalui kawasan kebakaran hutan dekat Darrah, Mariposa County, California. FOTO Reuters
HELIKOPTER CAL Fire dilihat melalui kawasan kebakaran hutan dekat Darrah, Mariposa County, California. FOTO Reuters
AFP

Los Angeles: Kebakaran hutan di California, Amerika Syarikat (AS) yang berlarutan sehingga semalam, membakar beberapa ribu hektar kawasan dan memaksa pemindahan jutaan penduduk yang turut terkesan dengan cuaca kemarau.

Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CAL Fire) dalam satu laporan mengesahkan, lebih 2,000 anggota bomba dibantu dengan 17 helikopter dikerahkan memadam kebakaran digelar sebagai Api Oak yang meletus di Taman Negara Yosemite, sejak Jumaat lalu.

Katanya, dua hari selepas pembakaran itu bermula, kebakaran itu memusnahkan lebih 5,750 hektar.

"Keadaan kemarau yang melampau membawa kepada tahap kelembapan bahan api yang kritikal dan menyukarkan usaha pemadaman semalam," menurut laporan CAL Fire.

Kebakaran itu memusnahkan 10 harta benda dan merosakkan lima yang lain dengan ribuan lagi terancam.

Seorang Pegawai CAL Fire, Hector Vasquez mengesahkan, lebih 6,000 orang dipindahkan.

Seorang penduduk yang dipindahkan Aubrey Brown berkata, kebakaran itu amat dahsyat dan merebak dengan pantas.

"Kami mula mengumpulkan barang-barang dan ketika itulah saya naik semula ke atas bukit dan terkejut melihat api merebak dengan pantas," katanya kepada stesen berita tempatan KCRA.

Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat di Mariposa County, Sabtu lalu.

Langkah itu dibuat berikutan keadaan bahaya yang melampau terhadap keselamatan orang ramai dan harta benda.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, California dan bahagian lain di barat AS sering dilanda kebakaran hutan besar dan merebak pantas disebabkan kemarau bertahun-tahun dan iklim yang semakin panas.

Kira-kira 85 juta rakyat AS di lebih 12 negeri berada di bawah tahap amaran haba pada hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 11:54 AM